Tuesday, September 15, 2009

Mesyuarat Pembinaan Modul "Ahsantum" Kursus Bahasa Arab-Oman

Perbincangan modul bersama Ust. Anwar (BPI)
Menyemak dan memurnikan modul
Bersama Yusof (Penang) dan Mior (Johor)
Taklimat mesyuarat oleh Ust. Shamsul (BPI)
Berbuka puasa di Hotel Naza bersama Ust. Aziz dan Yusof

14-16 September 2009 : Hari ini aku ke Hotel Naza Melaka untuk menghadiri Mesyuarat Pembinaan Bahan / Modul BA yang dinamakan "Ahsantum" hasil daripada kursus kami di Oman. Di KLIA aku bertemu dengan Yusof dan Ust. Rafuan (IPGM Bainun) dan kami bertiga ke Melaka dengan teksi. Tidak ada cerita yang menarik sepanjang perjalanan kerana masing-masing masih kepenatan. Sampai di Hotel Naza jam 7.00 petang dan sejurus selepas check in, kami terus berbuka puasa. Menu Naza Hotel agak istimewa dengan "cincaluk"nya tetapi belum dapat menandingi Gold Course Klang.

Taklimat bengkel dan mesyuarat malam ini disampaikan oleh Ust. Shamsul (BPI). Malam ini kami hanya membentangkan hasil dan dapatan yang diperolehi di Oman mengikut tugasan kumpulan masing-masing dan akan berbengkel semula esok pagi. 4 modul yang dipersetujui dulu kami akan teruskan dalam bengkel esok hari iaitu "لغة الفصل، الألعاب اللغوية، اللافتات والإعلانات، مشروع تسجيل الحوار". Aku bersama Yusof, Hairi, Ust. Wan Badrudin, Ust. Esibi, Ust. Sattar, Ust. Aziz terlibat dengan modul الألعاب اللغوية.

Mesyuarat kali ini tidak dapat dihadiri oleh semua peserta kerana keuzuran masing-masing. Ust. Md Akhir (tiada tiket Sarawak), Ust. Idris (bengkel KMK), Ust. Rahmat (MC sakit tangan), Ust. Saleh (sedang diaudit ISO), Ust. Aziz BPI (ibu sakit), Mohamad Sarawak (MC denggi), Ikmal (MC sakit kaki).

حفل الختام

Wakil Kedah (Rohaiza, Rahayu, K. Anwar-PP BA JPN Kedah, Amir & Azizi)
11 Sept. 11.00 pg - Kursus kami berakhir hari ini dengan berakhirnya majlis perasmian penutup yang disempurnakan oleh Ustazah Pauziah, Ketua Bidang Pendidikan Islam BPK KPM. Majlis dimulakan dengan bacaan al-Quran, dan ucapan Penghulu (Ust. Sayuti) serta ucapan Ustazah Fasehah (BPK) dan berakhir dengan ucapan Ustazah Pauziah.

Kursus Slot 10 - Pembentangan Hasil Bengkel

11 Sept. 08.00 pg: Hari ini adalah hari terakhir kami berkursus di Gold Course Klang. Slot yang terakhir ialah pembentangan hasil bengkel at-Taa'llum at-Taa'wuni mengikut kumpulan. Sebanyak 6 kumpulan yang dibentuk dan hanya 4 kumpulan sahaja yang sempat membentangkan "pengajaran mikro" seperti yang dirancang kerana kekakngan masa. Tetapi 2 kumpulan yang terakhir dapat memberikan respons dan ulasan terhadap semua pembentangan. Slot ini diakhiri dengan rumusan oleh Ust. Lutfi (PPK j-QAF Perak).

Kusus Slot 9 - Motivasi "Ilir-Ilir Gochah Angon"

10 Sept., 09.30 mlm: Aktiviti malam ini adalah slot motivasi yang dikendalikan oleh Ust. Ahmad Zamri bin Shamsudin (PP BA JPN Selangor) bertajuk "Jutawan Dunia Akhirat". Beliau dengan penuh semangat memotivasikan guru-guru BA agar terus istiqamah memperjuangkan dan memartabtkan BA di Malaysia. Pada akhir ceramah, beliau mempersembahkan klip video "Ilir-Ilir Gochah Angon".

Kursus Slot 8 - Bengkel at-Taa'llum at-Taa'wuni

10 Sept., 02.30 ptg: Aktiviti petang ini ialah bengkel kaedah at-Taa'llum at-Taa'wuni. Bengkel petang ini dikendalikan oleh kumpulan fasilitator yang berkursus di Oman. Setiap kumpulan dibimbing oleh 2 orang fasilitator untuk menyediakan rancangan pengajaran untuk "pengajaran mikro" menggunakan kaedah at-Taa'llum at-Taa'wuni. Aku bersama dengan Yusof (Penang) mengendalikan kumpulan 3 yang akan membentangkan tajuk "ملابس" berdasarkan HSP yang baru. Hasil bengkel ini akan dibentangkan pada hari akhir kursus.

Monday, September 14, 2009

Kursus Slot 7 - Strategi P & P Bahasa Arab












10 Sept., 10.30 pagi: Sesi kedua kursus hari ini diteruskan dengan strategi p & p Bahasa Arab berdasarkan kemahiran asas yang empat. Slot ini disampaikan oleh Ust. Rahimi bin Saad, pensyarah BA di UM. Beliau lebih banyak berkongsi pengalaman tentang permasalahan BA di kalangan pelajar sekolah dan universiti.

Kursus Slot 6 - Permainan Bahasa & Nasyid

10 Sept., 08.00 pagi: Pagi ini kursus diteruskan dengan pembentangan strategi p & p Bahasa Arab berpandukan kaedah permainan dan nasyid. Slot pagi ini dimulakan dengan permainan untuk sejam yang pertama dan kemudian diteruskan lagi dengan nasyid untuk sejam yang kedua. Slot ini dikendalikan oleh Ust. Mohamad dan Ust. Afandi (JLU BA Selangor).

Thursday, September 10, 2009

Bersahur di Cyberjaya






















09 Sept 09 - 12.30am: Selepas berakhir slot 5 malam ini, aku bersama Amir, Hafidz dan Sofi terus ke Cyberjaya. Tujuannya hanya untuk menjamu selera makanan arab. Destinasi kami malam ini ialah مطعم الجزيرة. Telah lama kami semua kempunan untuk makan "nasi mandy" berlaukkan "kibsah". Kalau ketika belajar dulu, nasi mandy ni boleh dikatakan santapan mingguan kami semua. Walaupun rasanya di sini tidaklah sesedap menu مطعم حضر موت di Mohandiseen Giza dan di Azizieyyah Mekah, tetapi sekurang-kurangnya dapatlah melepaskan gian nasi mandy. Bagi aku, Amir dan Hafidz, malam ini adalah malam kedua kami bersahur di Cyberjaya. Tapi semalam kami berkunjung ke مطعم سبأ yang berhampiran restoran ini.

Kursus Slot 5 - التعلم التعاوني

Wednesday, September 9, 2009

الذكرى الخالدة من المديرية

9 Sept. 09: Petang ini selepas selesai slot kursus, semua JLU yang berkursus di Oman bermesyuarat untuk seketika bagi menyelaraskan slot bengkel dan pembentangan untuk esok hari. Semua kami hadir kecuali Najmuddin (Perlis) yang juga tidak menghadiri kursus kali ini. Taklimat disampaikan oleh Ust. Safian (BPK), Ust. Khairiel (JPN Melaka), Ust. Lutfi (JPN Perak) dan Ust. Esibi (JPN Sabah). Untuk slot 5 malam ini bertajuk at-taa'llum at-taa'wuni akan disampaikan oleh Ust. Khairiel, kami diminta menyusun kedudukan dewan kursus seperti susun atur ketika kami berkursus di Oman dahulu. Mungkin ada sesuatu yang menarik hendak dilakukannya. Terkenang kembali suasana ceria ketika kami berkursus di dewan kuliah Mudiriah bersama penyelaras kursus Dr. Ahmad Uqlah.

Kursus Slot 4 - PKSR

9 Sept., 02.30 petang: Petang ini kursus kami diteruskan dengan slot 4 iaitu Panduan Pelaksanaan PKSR yang dibentangkan oleh Ust. Zabidi (JLU BA Selangor). PKSR untuk tahun 3 kegunaan 2010 telah dimurnikan dan dimantapkan dengan beberapa pindaan yang lebih memudahkan guru dan agak praktikal untuk dilaksanakan. Antaranya hanya 4 kali PKSR setahun iaitu Mac, Jun, Ogos dan Oktober. Soalan dan skema jawapan disediakan oleh BPK. PKSR Mac (50 markah) + Jun (50 markah) = (Peperiksaan Pertengahan Tahun-100 markah). Begitu juga PKSR Ogos (50 markah) + Oktober (50 markah) = (Peperiksaan Akhir Tahun-100 markah). Ini bermakna guru yang mengajar tahun 3 pada 2010 tidak perlu lagi membuat PKSR setiap unit pada setiap bulan seperti sebelumnya dan tidak perlu juga menyediakan soalan peperiksaan untuk pertengahan dan akhir tahun. Tetapi PKSR tahun 1, 2, 4, 5 dan 6 akan dilaksanakan seperti biasa sebelum diseragamkan secara berperingkat.

Kursus Slot 3 - SP Bahasa Arab

9 Sept., 10.30 pagi: Slot 3 kursus diteruskan dengan pembentangan Sukatan Pelajaran BA KBSR yang digubal pada tahun 2006 dan mula dilaksanakan pada 2007 untuk tahun 1. Pembentangan tajuk ini dikendalikan oleh Ust. Mohd Taib bin Pa (UM) yang merupakan salah seorang pakar rujuk BA kepada KPM. Hari ini merupakan kali ketiga kami mendengar tajuk ini sejak 2007 di Seremban dan 2008 di Putrajaya. Tetapi penceramahnya adalah berbeza dan banyak input baru yang diperolehi setiap kali mendengar tajuk ini.

Kursus Slot 2 - HSP BA Tahun 3

9 Sept., 8.00 pagi: Hari kedua kursus diteruskan dengan slot 2 bertajuk HSP BA Tahun 3 yang disampaikan oleh Ust. Mohd Nizam bin Noh (JLU BA Johor). Slot yang sepatutnya disampaikan selepas pembentangan SP BA terpaksa diawalkan kerana sedikit gangguan teknikal. Sebenarnya HSP Tahun 3 kegunaan 2010 telahpun aku membacanya sebelum ini ketika mengikuti Mesyuarat Kawal Mutu HSP BA Tahun 3, Bahan Kursus dan Bahan Mukhayyam di Aseania Langkawi pada 2008. Panel yang turut serta dalam kawal mutu tersebut adalah Ust. Nizam Noh sendiri, Akmal Ahmad (SK Seri Muda), Ust. Pisal (SK Kota Kuala Muda), Ust. Fauzi (SK Bukit Hijau), Ust. Arman, Ust. Hamdan, Ust. Ahmad dan beberapa orang lagi pensyarah yang dijemput. HSP BA tahun 3 yang dibentangkan hari ini bakal digunakan di SK pada tahun 2010 nanti.

Kursus Slot 1 - Pelaksanaan BA di PMD Gontor

8 Sept., 9.30 mlm : Selepas solat tarawih, kursus kami bermula dengan slot 1 yang memaparkan pelaksanaan p & p Bahasa Arab di Pondok Moden Darussalam, Gontor Indonesia. Pembentangan disampaikan oleh Ust Lukmanul Hakim (alumni Gontor) yang menggantikan Dr. Akhyar yang tidak dapat hadir. Pondok Gontor lebih menekankan kemahiran bertutur dan mewajibkan semua pelajarnya hanya bertutur dalam 2 bahasa sahaja iaitu arab dan inggeris. Kaedah pengajaran yang ditekankan di pondok ini ialah kaedah "terus @ langsung / lihat dan sebut" مباشرة / انظر وقل

Tuesday, September 8, 2009

Kursus Pendedahan HSP BA Tahun 3 Peringkat Kebangsaan

08.09.2009, Selasa - Hari ini aku dan Amir ke Hotel Gold Course Klang kerana menghadiri Kursus Pendedahan Sukatan Pelajaran BA Tahun 3 Kegunaan Tahun 2010 peringkat kebangsaan. Kami bertolak dari Sungai Petani seawal jam 9.30 pagi. Bersama dengan kami ialah 2 orang JLU BA Kedah yang baru iaitu Kak Za (Rohaiza Said-SK Bandar Baru Sungai Lalang) dan Kak Ayu (Rahayu Ayub-SK Tikam Batu). Kursus kali ini dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) dan bukan lagi anjuran BPI seperti tahun-tahun sebelumnya.

Perjalanan ke Klang terasa begitu cepat kerana kami memandu tanpa henti. Nak berhenti pun tak boleh nak makan. Kami cuma berhenti mengisi minyak dan menukar driver sahaja. Tiba di Gold Course jam 2.00 petang dan taklimat bermula jam 5.30 petang. Kami sempat berehat dahulu sebelum bermula kursus. Kursus bermula dengan slot pertama pada malam ini jam 9.30 malam selepas solat tarawih dan kursus akan tamat pada hari jumaat.

Kursus kali ini agak istimewa kerana aku dapat bertemu kembali dengan 14 orang geng j-QAF yang berkursus di Oman. Dan yang paling best, minggu depan kami akan bertemu lagi di Melaka untuk tugasan modul yang dinamakan "Ahsantum". Nampak gayanya ramadhan tahun ini sebahagiannya kami kena berkursus, berbengkel dan bermesyuarat sahaja. Apapun amanah dan tugas perlu dilaksanakan dengan sebaiknya.

احياء رمضان 1430هـ

Sempena Ramadhan tahun ini, Panitia Pendidikan Islam, Panitia Bahasa Arab dan Unit j-QAF SKHK mengambil inisiatif mengadakan "Program Ihya' Ramadhan". Program yang diadakan pada waktu rehat tahap satu dan dua dimeriahkan dengan pelbagai pengisian seperti tilawah al-Quran dan Tafsir, Takzirah Ramadhan dan Tadarus al-Quran. Majlis berlangsung dengan baik dan mendapat sambutan yang memberangsangkan dari kalangan murid dan guru. Semua GPI dan GPI-j-QAF bertindak sebagai penceramah/pentazkirah dan pembiimbing tilawah pada setiap hari secara bergilir-gilir. Murid-murid begitu teruja dengan hadiah-hadiah soalan kuiz yang dikemukakan selepas berakhir setiap sesi. رمضان كريم

blogger templates | Make Money Online